BELURAN: Seorang guru wanita parah manakala tiga pelajar perempuan cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Pamol Sapi Nangoh, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian itu, kemalangan membabitkan sebuah Toyota Hilux dan Perodua Aruz.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, NurAzlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada 12.23 tengah hari sebelum sepasukan lima anggota digerakkan ke lokasi.
“Pasukan tiba di lokasi pada 1.58 petang dan mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan.
“Empat mangsa dalam Toyota Hilux dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan tidak memerlukan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, empat lagi mangsa yang menaiki Perodua Aruz terdiri daripada seorang pemandu wanita yang juga guru dan tiga penumpang perempuan yang dipercayai pelajar.
“Pemandu wanita berusia 25 tahun dilaporkan mengalami kecederaan parah, manakala tiga penumpang mengalami kecederaan ringan.
“Kesemua mangsa yang cedera menerima rawatan awal daripada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Nangoh untuk rawatan lanjut,” katanya.
NurAzlan Shah berkata, tiada operasi menyelamat dijalankan anggota bomba kerana kesemua mangsa sudah dikeluarkan dari kenderaan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
Katanya, anggota bomba hanya menjalankan pemantauan dan mendapatkan maklumat berkaitan kejadian bagi memastikan keadaan di lokasi selamat serta terkawal.
“Operasi ditamatkan pada 2.07 petang,” katanya.