KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick mencadangkan supaya bayaran interim kepada Sabah dinaikkan kepada RM3.019 bilion, berdasarkan kutipan cukai berjumlah RM7.547 bilion di negeri ini pada 2025.
Beliau berkata, jumlah RM3.019 bilion itu bersamaan 40 peratus daripada hasil kutipan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Sabah pada tahun lalu.
“Cadangan itu bertujuan meningkatkan bayaran interim daripada RM1.5 bilion ketika ini, dengan mengambil kira jumlah hasil cukai yang dikutip di Sabah,” katanya.
Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah turut menyentuh keperluan menyelesaikan isu berkaitan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk perkara berhubung pemberian khas kepada negeri ini.
Beliau juga membangkitkan isu lain yang masih memerlukan penyelesaian, termasuk pembayaran tunai petroleum dan duti setem.
Cadangan berkenaan dikemukakan dalam perbahasan Belanjawan 2027, dengan tuntutan supaya perkara berkaitan hak Sabah diberi perhatian dalam hubungan kewangan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.