SEMPORNA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna merampas barang kawalan bernilai RM20,046.30 dalam tiga kes berasingan, termasuk kira-kira 3,500 liter diesel yang ditemukan dalam tangki sebuah bot di perairan Kampung Halo, di sini.
Dalam kejadian berasingan itu, rampasan turut membabitkan 455 liter petrol, 57 kilogram minyak masak paket dan dua tong gas petroleum cecair (LPG).
KPDN Semporna dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima tiga serahan kes daripada Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak dan Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna pada 22 Oktober lalu untuk tindakan siasatan lanjut.
“Serahan pertama membabitkan rampasan 180 liter petrol, 57 kilogram minyak masak paket, dua tong LPG serta peralatan bot di perairan selatan Boheayan.
“Dua individu turut direman bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan,” katanya.
Menurutnya, serahan kedua pula membabitkan kes rampasan tanpa tuan (RTT) sebanyak 275 liter petrol yang ditemukan di kawasan Jeti Umum Semporna.
Sementara itu, katanya, serahan ketiga membabitkan kira-kira 3,500 liter diesel yang ditemukan dalam tangki sebuah bot di perairan Kampung Halo, selain bot kayu, enjin dan peralatan berkaitan.
Secara keseluruhan, KPDN Semporna berkata, ketiga-tiga kes itu membabitkan rampasan 455 liter petrol, kira-kira 3,500 liter diesel, 57 kilogram minyak masak paket dan dua tong LPG dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM20,046.30.
Susulan rampasan itu, KPDN Semporna membuka tiga kertas siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
KPDN Semporna turut memberi amaran keras kepada individu dan syarikat supaya mematuhi undang-undang ditetapkan serta tidak terbabit dalam sebarang kegiatan yang melanggar peraturan berkaitan barang kawalan.
“Individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan berikutnya boleh membawa denda sehingga RM3 juta, penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi syarikat, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan berikutnya boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta,” katanya