TAWAU: Polis menahan seorang wanita warga China yang disyaki terbabit dalam aktiviti persundalan yang berselindung di sebalik operasi sebuah pusat refleksologi berhampiran pusat bandar, di sini, malam tadi.
Wanita berusia 36 tahun itu ditahan dalam serbuan Op Tembok/Op Noda yang dijalankan sepasukan polis dari Cawangan D7, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau serta pegawai Jabatan Tenaga Kerja Tawau, kira-kira jam 8.37 malam.
Dalam serbuan itu, wanita terbabit ditemui bersama seorang anggota polis penyamaran di dalam sebuah bilik di tingkat satu premis berkenaan.
Pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan minyak pelincir, kondom belum digunakan dan yang telah digunakan, plastik pembungkus kondom, sebuah beg serta wang tunai RM500 yang disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti persundalan.
Pasport wanita terbabit turut dirampas dari bilik pejabat premis berkenaan.
Turut ditahan ialah seorang lelaki tempatan berusia 71 tahun yang dipercayai pemilik premis bagi membantu siasatan berhubung aktiviti persundalan yang disyaki berlaku di premis berkenaan.
Wanita itu kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Tawau untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin membenarkan reman terhadap wanita terbabit selama empat hari sehingga 30 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan.