Usahawan perlu kukuhkan asas perniagaan sebelum cari modal – Dexter Lau

KOTA KINABALU: Usahawan Sabah perlu mengukuhkan asas perniagaan, termasuk pengurusan, kedudukan kewangan dan strategi yang jelas sebelum mendapatkan pembiayaan bagi mengembangkan operasi ke pasaran lebih luas.

Presiden Dewan Perdagangan Malaysia–China (MCCC) Sabah, Datuk Dexter Lau berkata, pertumbuhan perniagaan yang mampan bukan hanya bergantung kepada akses kepada modal, sebaliknya memerlukan perancangan realistik serta keupayaan syarikat melaksanakan strategi ditetapkan.

“Anda mesti mempunyai pelan yang jelas,” katanya ketika sesi forum Kembara Borneo 2026 – Sabah pada 14 Oktober lalu.

Dexter yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Federation of Public Listed Companies Berhad (FPLC) dan Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) berkata, syarikat perlu memahami hala tuju perniagaan dan cara melaksanakan perancangan berkenaan sebelum mencari modal tambahan.

Menurutnya, pelan perniagaan yang kukuh serta disokong asas perniagaan mantap lebih berupaya menarik perhatian institusi kewangan, pelabur dan rakan strategik.

Beliau turut menggesa usahawan memahami prestasi kewangan syarikat masing-masing, termasuk sumber pendapatan, margin keuntungan kasar, kos operasi, kos pembiayaan dan keuntungan bersih.

Tambah beliau, usahawan perlu mengetahui kedudukan pesaing, membina rangkaian perniagaan serta memastikan pasukan pengurusan dan tenaga kerja kekal stabil ketika syarikat berkembang.

Beliau berkata, ketidakstabilan pasukan pengurusan atau kehilangan kakitangan utama boleh menjejaskan operasi perniagaan, selain menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur.

Menurutnya, pelabur bukan sekadar menilai unjuran pertumbuhan atau jumlah pembiayaan yang diperlukan, tetapi turut melihat konsistensi perancangan, operasi, sumber dan pengurusan sesebuah syarikat.

Mengulas pengalaman KTC membuat persediaan untuk penyenaraian awam, beliau berkata proses itu membabitkan penelitian teliti serta pelbagai siri penilaian dan pertanyaan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Walaupun mencabar, proses berkenaan mendorong KTC menilai semula amalan perniagaan, memperkukuh kepimpinan dan menambah baik pengurusan operasi, sekali gus meletakkan asas bagi pengembangan berterusan syarikat termasuk di peringkat serantau.

Kata Dexter, penyenaraian awam bukan sekadar kaedah mendapatkan modal, malah membantu syarikat meningkatkan disiplin, akauntabiliti dan tadbir urus korporat melalui struktur pengurusan yang lebih sistematik.

Beliau turut menggalakkan usahawan Sabah memanfaatkan platform seperti Kembara Borneo untuk berinteraksi dengan pengawal selia dan profesional pasaran modal bagi memahami pilihan pembiayaan serta mengenal pasti ruang penambahbaikan sebelum mengembangkan perniagaan.

Dalam pada Itu, moderator sesi, Tan Sri Andrew Sheng berkata, rangkaian hubungan merentas industri dan rantau berpotensi membuka peluang kerjasama serta komersial baharu kepada syarikat Sabah di pasaran global.

Kembara Borneo 2026 – Sabah dianjurkan oleh SC dan Capital Markets Malaysia (CMM) bagi meningkatkan kesedaran perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat pertengahan mengenai peluang pembiayaan melalui pasaran modal, di samping memperkenalkan inisiatif untuk menyokong pertumbuhan dan daya saing perniagaan tempatan.