KOTA KINABALU: Seramai 14 lelaki warga China ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian (scam) yang beroperasi dari sebuah banglo tiga tingkat di kawasan elit di sini, semalam.
Kesemua lelaki berusia antara 26 hingga 44 tahun itu ditahan dalam serbuan menerusi Ops Serkap kira-kira jam 11 malam, 4 November lalu.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi berkenaan dilaksanakan hasil risikan selama seminggu oleh pihaknya dengan kekuatan 49 pegawai penguat kuasa dari Ibu Pejabat Imigresen Kota Kinabalu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati semua lelaki terbabit dipercayai memasuki negara ini menggunakan Pas Lawatan Sosial.
“Daripada jumlah itu, 13 individu dikenal pasti melakukan kesalahan tinggal lebih masa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala seorang lagi disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak memiliki pas atau permit yang sah.
“Kesemua mereka turut dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian yang dijalankan dari premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan di banglo berkenaan turut membawa kepada rampasan 14 komputer riba, 75 telefon bimbit pelbagai jenama serta satu set peralatan dan kelengkapan internet.
Selain itu, katanya, operasi berkenaan turut merampas wang tunai berjumlah RM3,742 dan 560 yuan China (CNY), selain 13 kerusi serta enam meja yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan berkenaan.
Sitti Saleha berkata, semua individu terbabit kini ditahan di Depot Imigresen Kota Kinabalu bagi membantu siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, JIM Sabah memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang imigresen termasuk kesalahan tinggal lebih masa, berada di negara ini tanpa dokumen sah serta penyalahgunaan pas.

“JIM Sabah akan terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan dan pemantauan bagi membendung aktiviti menyalahi undang-undang, termasuk kegiatan warga asing yang disyaki terbabit dalam penipuan dalam talian.
“Kerjasama masyarakat amat dihargai dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang kegiatan mencurigakan,” katanya.