Enam rekod jenayah lampau, lelaki ditahan bersama syabu seberat 51 gram di Kudat

KUDAT: Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang mempunyai enam rekod jenayah lampau ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu seberat 51.06 gram dalam operasi di Kampung Lodung, di sini, semalam.

Suspek ditahan kira-kira jam 2 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat, susulan maklumat mengenai kegiatan pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintenden Mohd Haris Ibrahim berkata, pemeriksaan ke atas suspek menemukan sembilan peket plastik lutsinar pelbagai saiz yang mengandungi ketulan hablur kristal disyaki syabu.

Menurutnya, dadah yang dirampas mempunyai berat kasar 51.06 gram dengan nilai anggaran RM5,100.

“Polis turut merampas sebuah bekas plastik lutsinar, sebuah beg kecil berwarna hitam dan sebatang keratan straw berwarna kuning lutsinar yang dipercayai digunakan sebagai peralatan untuk menagih dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine/methamphetamine.

Menurutnya, semakan lanjut turut mendapati suspek mempunyai enam rekod kesalahan lampau, masing-masing tiga kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tiga lagi di bawah Kanun Keseksaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala permohonan reman selama tujuh hari telah dibuat bagi membantu siasatan lanjut,” jelasnya.

Mohd Haris berkata, IPD Kudat akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah, khususnya di daerah berkenaan.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu membanteras jenayah dadah demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan komuniti.