TAWAU: Cubaan menyeleweng 1,190 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi terbongkar selepas Pasukan Polis Marin (PPM) merampas barangan kawalan itu dalam operasi di kawasan Jeti Batu 3, di sini, semalam.
Dalam operasi hasil pemantauan dan risikan itu, sebuah van Toyota berwarna putih yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan turut disita.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau dalam kenyataan memaklumkan, nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan RM22,975.
Menurut kenyataan itu, pihaknya menerima serahan kes berkenaan daripada PPM untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Kes diserahkan kepada Seksyen Penguat Kuasa KPDN Cawangan Tawau untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Kertas siasatan sudah dibuka bagi mengenal pasti sebarang kesalahan berkaitan penyelewengan barang kawalan bersubsidi,” menurut kenyataan itu.
KPDN memaklumkan, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.
“KPDN Tawau tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi yang boleh menjejaskan kepentingan rakyat dan negara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan boleh menyalurkan aduan melalui portal e-Aduan KPDN atau menghubungi pejabat KPDN Tawau di talian 089-776690,” katanya.