TAWAU: Tindakan dua lelaki melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis membawa kepada penemuan sebuah motosikal curi serta pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah di Jalan Tanjung Batu Laut, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, anggota Polis Strike Team Balai Polis Tawau yang menjalankan Op Ronda Cegah Jenayah terserempak dengan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan ketika menaiki sebuah motosikal jenis Honda Wave tanpa nombor pendaftaran.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, sebaik menyedari kehadiran polis, kedua-dua lelaki terbabit bertindak melarikan diri dengan meninggalkan motosikal berkenaan bersama dua kotak besar di tengah jalan.
Menurutnya, hasil semakan menerusi sistem Integrated Police Reporting System (iPRS) mengesahkan motosikal itu mempunyai kaitan dengan laporan kes kecurian yang dibuat pada 9 Oktober lalu.
“Pemeriksaan lanjut terhadap dua kotak besar yang ditinggalkan turut menemukan pelbagai barangan disyaki hasil curi.
“Antara barangan yang dirampas ialah tujuh kampit beras seberat lima kilogram setiap satu, 12 paket gula kasar seberat satu kilogram setiap satu, 12 botol kicap soya pekat manis, sebotol minyak masak serta sebuah amplifier tuner,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua barangan bersama motosikal terbabit dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Katanya, polis kini giat mengesan kedua-dua lelaki berkenaan selain menjalankan siasatan bagi mengenal pasti kemungkinan motosikal dan barangan yang ditemukan mempunyai kaitan dengan kes jenayah lain.
Rosdi menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan jenayah dan tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa meningkatkan langkah keselamatan harta benda, termasuk meletakkan kenderaan di kawasan selamat, menggunakan kunci keselamatan tambahan serta mengelakkan daripada meninggalkan kenderaan tanpa pengawasan di kawasan berisiko.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau kegiatan jenayah turut diminta menyalurkannya kepada pihak polis atau menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu usaha membanteras jenayah di daerah ini.