LAHAD DATU: Seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun ditahan selepas polis merampas dadah disyaki syabu seberat 51.55 gram dalam Op Tapis di Jalan Lahad Datu-Sandakan, di sini, Khamis lalu.
Dalam operasi kira-kira jam 7.10 malam itu, suspek dipercayai cuba melarikan diri ketika pemeriksaan dijalankan sebelum berjaya diberkas anggota polis selepas berlaku pergelutan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, pemeriksaan terhadap beg silang milik suspek menemukan tujuh paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki syabu yang dianggarkan bernilai RM3,000.
Menurutnya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit, sebilah gunting dan sebuah pemetik api, selain menyita sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR untuk siasatan lanjut.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semakan rekod mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti sumber bekalan dadah serta rangkaian pengedaran yang terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, Dzulbaharin menegaskan polis akan terus mempergiat operasi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.