TAWAU: Seorang Koperal dan seorang Pegawai Waran 2 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) direman tujuh hari bagi membantu siasatan sindiket penyeludupan dadah yang dipercayai menggunakan aset ketenteraan untuk kegiatan pengedaran rentas sempadan.
Perintah reman terhadap kedua-dua anggota itu dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum selepas membenarkan permohonan polis di Mahkamah Majistret di sini, pagi ini.
Kedua-dua suspek ditahan dalam operasi polis di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, kira-kira jam 7 pagi.
Berdasarkan keterangan kes semasa permohonan reman dikemukakan, kedua-dua suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kes rampasan dadah di ruang legar ketibaan Cabang Pergerakan Udara, Pengkalan Udara Subang, Shah Alam, Selangor, pada 17 November lalu.
Polis turut memohon kebenaran membawa kedua-dua suspek ke JSJN Bukit Aman bagi membolehkan siasatan lanjut dan terperinci dijalankan berikutan kes berkenaan membabitkan rampasan dadah berskala besar.
Sepanjang tempoh reman tujuh hari itu, kedua-dua suspek akan ditempatkan di lokap Balai Polis Tawau dan Pusat Tahanan Polis Mukim Batu, Kuala Lumpur bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan.
Sebelum ini, Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata lima pegawai TUDM antara 11 individu ditahan dalam beberapa siri operasi di sekitar Lembah Klang dan Labuan pada 17 November lalu.
Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai mengeksploitasi kemudahan pengangkutan udara ketenteraan untuk menyeludup dadah dari Semenanjung ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa, terutama Filipina dan Indonesia.
Dalam operasi itu, polis merampas 96.64 kilogram (kg) dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM4.83 juta.