KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah mencadangkan supaya pembayaran interim berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah dilaksanakan secara progresif, dengan jumlah bayaran meningkat setiap tahun berdasarkan hasil yang dijana agensi Persekutuan di negeri ini.
Pengerusinya, Datuk Mustapha Sakmud berkata, cadangan itu bertujuan memastikan nilai pembayaran interim tidak kekal pada jumlah sama sepanjang tempoh lima tahun, sebaliknya meningkat secara berperingkat menerusi rundingan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Jadi, kita mahu mencadangkan supaya untuk perundingan akan datang, bila kita sampai kepada jumlah tertentu, kita mahu supaya pewartaan itu mestilah secara progresif.
“Maksudnya, sekarang ini bila kita warta, nilainya mendatar untuk lima tahun.
“Tetapi kita cadangkan supaya mulai tahun depan, bila kita wartakan, nilainya meningkat setiap tahun berdasarkan nilai hasil yang dijana oleh agensi Persekutuan di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat PH Sabah di sebuah resort terkemuka, di sini, pada Jumaat.
Mustapha berkata, jumlah pembayaran interim sebanyak RM1.5 bilion sebelum ini merangkumi RM600 juta yang telah dibayar, manakala baki RM900 juta sedang melalui proses teknikal akhir di peringkat Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, PH Sabah berharap baki pembayaran itu dapat diselesaikan sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Disember ini bagi membolehkan peruntukan berkenaan dimasukkan dalam hasil negeri untuk dibelanjakan bagi kepentingan rakyat pada tahun depan.
Tambah beliau, cadangan pembayaran secara progresif itu akan dibawa dalam rundingan akan datang bagi menentukan jumlah peningkatan tahunan yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua pihak.
“Berapa nilainya kita pulangkan kepada kerajaan negeri untuk berunding dengan Kerajaan Persekutuan dan nilai itu akan dipersetujui bersama. Ini cadangan kita sehingga kita mendapat nilai sebenar 40 peratus,” ujar beliau.
Mustapha berkata, pencapaian sasaran berkenaan bergantung kepada proses rundingan serta keupayaan fiskal dan kedudukan kewangan negara.