KOTA KINABALU – Semua tuntutan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63) pasti akan dilunaskan sebaik mungkin oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah.
“Perlembagaan Parti Keadilan Rakyat, Fasal 5, Perkara 5.8 menyebut menjunjung setia dan semangat kerjasama dan perkongsian kuasa secara adil antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia dengan memperkasakan kedudukan politik dan ekonomi yang saksama mengikut kerangka MA63”.
“Justeru, menjadikan PKR sebagai satu-satunya parti nasional yang mengangkat dengan jelas kepentingan MA63 dalam kerangka Negara Bangsa,” katanya.
Tambah Ahli Parlimen Sepanggar itu, setakat ini, 11 tuntutan di bawah MA63 telah diselesaikan dengan tujuh daripadanya dipenuhi dalam tempoh dua tahun di bawah Perdana Menteri ke-10 itu.
“Di bawah Perdana Menteri Ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, 3 tuntutan utama juga diselesaikan, seperti penyerahan pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada Sabah manakala penyerahan kuasa kawal selia LPG kepada Sarawak pula dilakukan di bawah Perdana Menteri Ke-8, Datuk Seri Muhyiddin Yassin.
“Ini adalah contoh terbaik bagaimana kepimpinan yang inklusif dan penuh ihsan boleh membawa kemajuan positif kepada kesemua rakan kongsi yang membentuk Negara Malaysia.
“Semoga Malaysia terus maju dan tumbuh sebagai Negara yang disegani dan dirahmati,” katanya dalam satu perutusan sempena Hari Malaysia 2024.
