KOTA KINABALU: Lebih 15 tahun membangunkan bakat bola sepak akar umbi di Sabah akhirnya membuahkan hasil, Akademi Bola Sepak Jubilo diberi kepercayaan oleh Persatuan Bola sepak Negeri Sabah (SAFA) untuk mewakili negeri dalam Liga Remaja Kebangsaan (NFDP) Bawah 16 Tahun 2026.
Pelantikan rasmi itu disampaikan melalui pejabat Setiausaha Agung SAFA, Shamsuddin Mohd Shah, sebelum majlis penyerahan turut diadakan bersama Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia SAFA di Kompleks Sukan Likas, di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengurus Pasukan Jubilo, Saiful Azua @ Joe Golkhan berkata, kepercayaan yang diberikan menjadi pengiktirafan terhadap usaha akademi itu dalam melahirkan bakat muda secara berterusan sejak penubuhannya pada 2008.
Menurutnya, Jubilo yang melalui penjenamaan semula sebagai Akademi Bola Sepak Jubilo pada 2023 kini aktif membangunkan pemain kategori bawah lapan (U8) hingga bawah 16 tahun (U16) di Kota Kinabalu, Tuaran, Papar, Kota Belud dan Kota Marudu menerusi program pembangunan yang lebih tersusun.
“Fokus kami bukan hanya melahirkan pemain berbakat, malah membentuk disiplin, pendidikan sukan dan menyediakan laluan pembangunan yang jelas untuk mereka melangkah ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Sepanjang penglibatannya, Jubilo telah melahirkan beberapa pemain yang berjaya mewakili Sabah FC serta skuad bola sepak wanita kebangsaan.
Bagi menyelaras persiapan pasukan Sabah Bawah 16 Tahun, delegasi Jubilo turut mengadakan kunjungan hormat kepada Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia SAFA yang diketuai Pengarah Teknikalnya, Roney Asmadul Bakar, bagi membincangkan perancangan menghadapi kejohanan itu.
Liga Remaja Kebangsaan (NFDP) Bawah 16 Tahun 2026 dijadual berlangsung di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, Pahang dari 27 November hingga 7 Disember depan, melibatkan penyertaan wakil dari seluruh negara.
