Empat tangki baharu Sandakan 94% siap, bekalan air dijangka lebih stabil menjelang 2027

KOTA KINABALU: Penduduk Sandakan bakal menikmati sistem agihan lebih stabil apabila projek menaik taraf sistem bekalan air termasuk pembinaan empat tangki simpanan kini mencapai kemajuan fizikal 94 peratus dan dijangka siap pada Januari 2027.

Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Limus Jury berkata, projek berkenaan merupakan antara langkah jangka panjang kerajaan negeri bagi menangani isu bekalan air di daerah Sandakan termasuk kawasan Karamunting, Gum-Gum, Sekong dan sekitarnya.

Menurutnya, projek menaik taraf sistem bekalan air termasuk pembinaan tangki simpanan air Sandakan itu bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada sistem pengepaman terus (direct pumping) yang selama ini memberi tekanan tinggi terhadap rangkaian paip sedia ada.

“Melalui projek ini, tiga buah tangki simpanan air akan dibina di Batu 16 Gum-Gum berkapasiti lima juta liter, Batu 7 Jalan Airport berkapasiti 10 juta liter dan Batu 4 Tshun Ngen berkapasiti 10 juta liter.

“Selain itu, sebuah tangki imbangan berkapasiti 10 juta liter turut dibina di Batu 12 Sungai Manila,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Wong Tshun Khee pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Kata beliau, apabila siap kelak, projek itu akan membolehkan bekalan air terawat daripada Loji Rawatan Air (LRA) Segaliud disimpan dan diagihkan secara lebih sistematik kepada pengguna.

“Pelaksanaannya juga dijangka dapat mengurangkan tekanan operasi pada rangkaian paip sedia ada, sekali gus mengurangkan kejadian kebocoran
paip serta menurunkan kadar Air Tidak Berhasil (Non-Revenue Water atau NRW) di Daerah Sandakan,” katanya.

Dalam pada itu, Limus berkata kerajaan negeri turut mengambil langkah memperkukuh sumber bekalan air melalui pemulihan sistem telaga tiub di kawasan Hilltop dan Sibuga.

“Sebanyak 10 buah telaga tiub sedia ada dikenal pasti untuk kerja pemulihan menerusi kajian yang telah disiapkan pada Jun 2026, yang dijangka mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran LRA Hilltop dan LRA Sibuga antara dua hingga empat juta liter sehari,” tambahnya.

Menurut beliau, pelaksanaan projek Rehabilitation and Upgrade of Borewell Systems for Hilltop Water Treatment Plant, Sandakan dijangka bermula tahun ini di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Jabatan Air Sabah turut memohon peruntukan pembinaan Loji Rawatan Air Segaliud yang baharu berkapasiti 125 juta liter sehari bersama pembinaan muka sauk baharu bagi meningkatkan kapasiti bekalan air Sandakan pada masa hadapan.

Sementara itu, bagi tindakan segera, Jabatan Air Sabah terus melaksanakan penghantaran lori tangki air ke kawasan terjejas, pengaturan semula sistem agihan melalui kawalan injap serta pembinaan tangki statik di lokasi yang kerap mengalami gangguan bekalan.

“Kerajaan negeri komited memastikan isu bekalan air di Sandakan ditangani secara menyeluruh menerusi gabungan penyelesaian jangka pendek dan projek infrastruktur jangka panjang,” ujar beliau.