Pengusaha Pelancongan Kiulu Terima 1,000 Tunas Vanila

TUARAN : Sebanyak 1,000 tunas vanila diberikan kepada pengusaha pelancongan berasaskan komuniti dan masyarakat setempat sebagai usaha menggalakkan pembangunan agropelancongan di kawasan Kiulu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai berkata, penanaman vanila berpotensi membantu meningkatkan taraf kehidupan penduduk dan memperkukuh sektor agropelancongan yang menjadi tarikan pelancong ke kawasan berkenaan.

“Dengan penanaman vanila ini, diharap ia dapat membantu memperbaiki kehidupan dan meningkatkan pendapatan penduduk setempat.

“Pada masa yang sama, ia mampu memperkukuh produk agropelancongan yang menjadi tarikan pelancong ke Kiulu.

“Kita mempunyai fokus untuk membantu masyarakat meningkatkan pendapatan, selain memperbaiki infrastruktur. 

“Apabila ekonomi keluarga meningkat, taraf kehidupan kita juga akan meningkat,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Program Sembang Santai Komuniti MADANI di Dewan Sri Rantaka, Kampung Simpangan Lama, Kiulu pada Isnin.

Dalam pada itu, Joniston turut menyokong penganjuran Program Sembang Santai Komuniti MADANI yang dianjurkan oleh Pejabat Penerangan Daerah Tuaran dengan kerjasama Komuniti MADANI Kampung Rungus Nabaha.

“Program anjuran sebegini amat baik dan perlu diteruskan. 

Saya berharap segala ilmu, maklumat dan bantuan yang disampaikan melalui program ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti sekitar demi kesejahteraan dan pembangunan masyarakat,” ujarnya.

Program dimulakan dengan sesi perkongsian naratif isu-isu semasa yang disampaikan oleh Pegawai Penerangan Daerah Tuaran, Nur Azean Makbul, bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap dasar kerajaan serta isu-isu semasa yang memberi kesan kepada rakyat.

Selain itu, turut diadakan taklimat daripada Jabatan Pertanian Tuaran dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Tuaran mengenai pelbagai inisiatif, bantuan serta peranan agensi dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti.

Peserta turut mengikuti Taklimat Penanaman Vanila yang disampaikan oleh pengurus My Kebun Vanilla Kinarut, Leo Komuji yang berkongsi pengetahuan mengenai potensi tanaman vanila sebagai sumber pendapatan baharu serta produk bernilai tinggi dalam sektor pertanian dan agropelancongan.