TAWAU : Dua buah kren baharu jenis Quay Crane yang ditempatkan Pelabuhan Tawau dijangka meningkatkan kecekapan operasi pelabuhan serta memperkukuh daya saingnya sebagai pintu masuk utama perdagangan di Pantai Timur Sabah.
Pengarah Urusan Kumpulan Suria Capital Holdings Berhad dan Sabah Ports Sdn Bhd, Datuk Ahmad Rizal Dahli berkata, dengan adanya dua buah kren tersebut akan meningkatkan kecekapan operasi pengendalian di pelabuhan, sekali gus memberi manfaat kepada syarikat perkapalan, pengguna pelabuhan dan komuniti perniagaan di Tawau.
“Sudah tentu impak yang diberikan dengan adanya Quay Crane ini memberikan pengendalian yang lebih cekap untuk syarikat perkapalan dan pengguna pelabuhan serta komuniti perniagaan di Tawau.
“Secara ringkasnya, manfaat yang akan diperolehi ialah kadar pusing ganti kapal yang lebih singkat menjadikan tempoh kerja lebih singkat di dermaga, mengurangkan tempoh menunggu iaitu dengan kesediaan peralatan yang lebih baik dapat meningkatkan perancangan kapal yang lebih lancar dan teratur.
“Selain itu, kapasiti pengendalian yang lebih besar di pelabuhan dapat menyokong pertambahan jumlah kargo juga permintaan yang akan datang dan impak terakhir dapat mengukuhkan keyakinan perdagangan melalui perkhidmatan pelabuhan yang cekap membantu pengeksport serta pengimport syarikat perkapalan untuk merancang dengan lebih lancar,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Kren Baharu Pelabuhan Tawau di Jeti Utama Pelabuhan Tawau, pada Ahad.
Pada majlis itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor hadir bagi menyempurnakan perasmian dua kren tersebut yang diimport dari China dengan nilai keseluruhan RM70 juta.
Untuk rekod, pelabuhan Tawau merupakan pintu masuk utama perdagangan di Pantai Timur Sabah dan memainkan peranan penting dalam aktiviti import eksport negeri ini.