Rokok seludup, minyak masak bersubsidi RM226,550 dirampas

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merampas 850 karton rokok putih tidak bercukai dan 1,020 paket minyak masak bersubsidi dalam dua operasi berasingan di daerah ini, membabitkan nilai keseluruhan RM226,550.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, dalam operasi pertama pada jam 7.10 malam, semalam, pihaknya melakukan pemeriksaan di dua pondok tidak bernombor di kawasan hutan bakau, Kampung Batu 2, selepas menerima maklumat berkaitan penyimpanan rokok tidak bercukai.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kedua-dua pondok berkenaan dipercayai dijadikan stor simpanan sementara bagi menyembunyikan rokok berkenaan daripada dikesan pihak berkuasa.

“Pemeriksaan lanjut menemukan 850 karton rokok putih tidak bercukai jenama Astro Merah yang dipercayai diseludup masuk ke negara ini untuk diedarkan di pasaran tempatan.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM204,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Amri berkata, PPM kini mempergiatkan usaha mengesan pembekal dan penjual bagi memastikan kegiatan berkenaan dapat dibanteras hingga ke peringkat rangkaian pengedaran.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

Dalam operasi kedua kira-kira jam 2.20 pagi, 14 Ogos, beliau berkata, pasukan PPM mengesan sebuah kenderaan yang tiba di Kampung Kombo, Jalan Leila sebelum pemeriksaan dijalankan.

“Hasil pemeriksaan menemukan 1,020 paket minyak masak bersubsidi satu kilogram.

“Seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan, manakala sebuah kenderaan jenis Isuzu Trooper berwarna biru yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu turut dirampas,” katanya.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dalam kes kedua dianggarkan RM22,550 dan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Ahmad Amri berkata, kejayaan dua operasi itu membuktikan komitmen PPM Wilayah 4 Sabah dalam memperhebatkan risikan, pemantauan dan penguatkuasaan bagi mengekang penyeludupan serta ketirisan barangan kawalan, khususnya di Pantai Timur Sabah.

“Kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti mencurigakan amat dihargai bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan jenayah dan penyeludupan,” katanya.