TAWAU: Seorang lelaki dipercayai berperanan sebagai penghantar barang atau ‘runner’ ditahan selepas didapati membawa 180 unit cartridge vape yang disyaki mengandungi cecair dadah berbahaya dengan berat kasar keseluruhan 1.82 kilogram, semalam.
Pemuda berusia 23 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah selepas keluar dari sebuah syarikat kurier di Taman Sawit, Sungai Balung, kira-kira jam 5 petang.
Tangkapan itu dilakukan hasil maklumat daripada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mengikut keterangan kes, sepasukan anggota JSJN IPK Sabah yang menjalankan pemantauan di hadapan premis berkenaan kira-kira 20 minit, melihat suspek keluar sambil membawa sebuah kotak berwarna coklat bertulis ‘SAJI’ yang dibalut plastik lutsinar dalam keadaan mencurigakan.
Pasukan itu kemudian menahan lelaki terbabit di luar premis berkenaan sebelum pemeriksaan dilakukan terhadap bungkusan yang dibawanya.
Ketika ditanya mengenai kandungan di dalam kotak berkenaan dan sama ada terdapat barang salah dalam milikannya, suspek dikatakan hanya menjawab, “saya tidak tahu”.
Pemeriksaan awal mendapati bungkusan berkenaan mempunyai alamat penghantaran yang dialamatkan kepada seorang lelaki, selain mengandungi lima bungkusan kertas berwarna kuning.
Pemeriksaan lanjut mendapati lima bungkusan itu mengandungi sebanyak 180 unit katrij vape yang disyaki mengandungi cecair dadah berbahaya.
Daripada jumlah itu, tiga bungkusan masing-masing mengandungi 40 unit katrij vape, manakala dua lagi mengandungi 30 unit setiap satu.
Barang kes itu kemudian dibawa bersama suspek ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Tawau untuk pemeriksaan lanjut secara terperinci.
Hasil pemeriksaan, anggaran berat kasar barang kes berkenaan ialah 1.82 kilogram.
Polis turut merampas sebuah telefon bimbit iPhone XS Max berwarna putih.
Suspek kemudiannya ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Permohonan reman terhadap suspek dikemukakan pegawai penyiasat kes, Inspektor Luqmannul Hakim Mohamad, di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin membenarkan suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut.