Ganggu dan ugut isteri berulang kali, lelaki 39 tahun ditahan

TAWAU: Seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan polis selepas disyaki mengganggu dan mengugut isterinya secara berulang kali sehingga mangsa bimbang terhadap keselamatan dirinya.

Suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berada di tempat kerjanya di sebuah hospital di daerah ini.

Menurutnya, suspek yang juga suami mangsa dipercayai datang ke lokasi berkenaan sebelum mengugut untuk mencederakan mangsa selepas wanita itu didakwa tidak mengikut arahannya.

“Selain itu, suspek turut menghantar pesanan suara menerusi aplikasi WhatsApp yang mengandungi ugutan terhadap keselamatan mangsa.

“Mangsa yang berasa takut dan bimbang susulan gangguan serta ancaman yang berlaku berulang kali kemudian membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan laporan berkenaan, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau menjalankan usaha mengesan suspek sebelum berjaya menahannya di sebuah bilik sewa di Jalan Dunlop, Tawau.

Wilynton berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit berwarna putih bersama kad SIM yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk merakam percakapan suspek, mangsa dan saksi bagi melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil ringan sebarang bentuk ugutan atau ancaman terhadap keselamatan diri.

Katanya, mangsa atau individu yang berdepan situasi sedemikian dinasihatkan supaya segera membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.