TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas polis menemukan sebilah senjata tajam yang disembunyikan di bahagian pinggang belakangnya ketika pemeriksaan susulan perselisihan faham di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Dunlop, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek berusia 30-an itu ditahan anggota Rondaan BIT dari Balai Polis Tawau selepas pihaknya menerima maklumat mengenai perselisihan faham membabitkan dua lelaki kira-kira jam 1.30 petang.
Menurutnya, sepasukan polis bergegas ke lokasi dan mendapati dua lelaki terbabit sedang berselisih faham sebelum pemeriksaan dijalankan terhadap kedua-duanya.
“Pemeriksaan terhadap lelaki pertama tidak menemui sebarang barang salah.
“Bagaimanapun, pemeriksaan terhadap lelaki kedua menemukan sebilah senjata tajam menyerupai pisau atau parang pendek berserta sarung kayu yang disembunyikan di bahagian pinggang belakangnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rosdi berkata, pemeriksaan lanjut turut mendapati lelaki berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Katanya, polis merampas senjata tajam berukuran kira-kira 19 sentimeter bersama sarung serta pakaian yang digunakan suspek untuk siasatan lanjut.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.
Rosdi turut menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memiliki atau membawa senjata berbahaya tanpa alasan yang sah.
“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi memastikan ketenteraman awam dan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengetahui atau mengesan sebarang aktiviti mencurigakan,” katanya.