Kesejahteraan rakyat perlu dirasai, bukan sekadar slogan – Jafry

KOTA KINABALU: Kesejahteraan rakyat perlu diterjemahkan melalui kehidupan yang lebih baik, termasuk peluang ekonomi, keharmonian masyarakat, keselamatan, kemudahan awam dan persekitaran yang sihat.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, perkara itu selari dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, yang menekankan pembangunan berteraskan kesejahteraan manusia.

Menurutnya, kesejahteraan tidak seharusnya diukur melalui pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya perlu dapat dirasai rakyat dalam kehidupan seharian serta memberi keyakinan terhadap masa depan generasi akan datang.

“Melalui peluang ekonomi, keharmonian masyarakat, keselamatan, akses kepada kemudahan, persekitaran yang sihat serta keyakinan bahawa masa depan anak-anak kita lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2026, di sini, hari ini.

Jafry berkata, sektor pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar mempunyai peranan penting dalam memastikan kesejahteraan tersebut dapat dinikmati masyarakat.

Katanya, pembangunan sektor pelancongan perlu memberi manfaat kepada komuniti setempat, manakala warisan kebudayaan dan khazanah alam Sabah perlu terus dipelihara untuk generasi akan datang.

“Sabah memiliki kekayaan budaya yang luar biasa. Tarian, muzik, bahasa, adat, kraftangan, makanan dan cara hidup masyarakat kita bukan sekadar bahan persembahan, tetapi jambatan yang menghubungkan manusia,” katanya.

Menurutnya, penghayatan terhadap kepelbagaian budaya bukan sahaja dapat memupuk rasa hormat antara masyarakat, malah turut menyumbang kepada pengukuhan perpaduan.

Dalam pada itu, Jafry berkata kekayaan alam semula jadi Sabah seperti gunung, hutan hujan, sungai, pulau dan laut bukan sekadar aset pelancongan, tetapi turut menjadi sumber kehidupan serta sebahagian daripada identiti negeri.

Beliau berkata, sambutan Hari Malaysia tahun ini turut memberi penekanan terhadap penghayatan sejarah dan pemupukan semangat patriotisme, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Katanya, pelbagai program termasuk Majlis Tahlil dan Doa Selamat, pameran sejarah oleh Arkib Negeri Sabah serta Konvoi Kembara Merdeka dianjurkan bagi mendekatkan masyarakat dengan sejarah dan semangat cintakan negara.

“Dengan memahami sejarah, kita akan lebih menghargai keamanan dan lebih bertanggungjawab dalam menjaga perpaduan,” katanya.

Jafry turut menyeru rakyat Sabah mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga, selain bersama-sama memelihara keharmonian komuniti dan menjadikan sambutan Hari Malaysia sebagai wadah mempererat hubungan masyarakat.

Beliau berkata, kejayaan penganjuran sambutan berskala besar bukan hanya bergantung kepada pentas dan persembahan, sebaliknya memerlukan disiplin, koordinasi, kesungguhan serta semangat bekerja sebagai satu pasukan.

“Itulah juga gambaran Malaysia yang kita mahu – pelbagai peranan, tetapi satu tujuan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua kementerian, jabatan, agensi keselamatan dan kecemasan, pasukan teknikal, penggiat seni dan budaya, petugas serta sukarelawan yang terlibat menjayakan sambutan berkenaan.

Majlis berkenaan turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan Toh Puan Faridah Tussin, selain menteri-menteri Kabinet Sabah, tetamu kehormat serta rakyat.