TAWAU: Seorang lelaki berusia 19 tahun maut manakala dua wanita cedera ringan dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Axia dan motosikal Honda RS di hadapan Rastamas, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.33 tengah hari itu, penunggang motosikal terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, TPgB II Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum jentera tiba di lokasi pada jam 12.40 tengah hari.
“Kemalangan dipercayai berlaku ketika Perodua Axia membuat pusingan U sebelum dilanggar motosikal Honda RS berkenaan.
“Terdapat tiga mangsa terbabit, iaitu penunggang motosikal berusia 19 tahun yang meninggal dunia, serta pemandu dan penumpang Perodua Axia masing-masing berusia 31 dan 40 tahun yang mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Seorang penumpang kereta dilaporkan tersepit di tempat duduk sebelah penumpang hadapan, manakala pemandu kenderaan itu berjaya keluar sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas hidraulik jenis spreader bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkannya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” jelasnya.
Mangsa yang meninggal dunia kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang membabitkan lima anggota BBP Tawau itu ditamatkan pada jam 1.14 tengah hari selepas pemeriksaan dilakukan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi.