TAWAU: Sebanyak 16 rumah kediaman jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Batu 2, Jalan Apas, Lorong Fook Hwa, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian itu, tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, PPgB Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.31 malam menerusi talian NG999 sebelum jentera tiba di lokasi tiga minit kemudian.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan rumah kediaman jenis tidak kekal sebelum operasi pemadaman segera dijalankan.
“Operasi pemadaman menggunakan tiga aliran sepanjang 400 kaki dengan lima pancutan air, menggunakan sumber daripada tangki jentera bomba, pili bomba berhampiran serta sumber air terbuka iaitu parit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kebakaran pada awalnya dilaporkan melibatkan lebih 10 rumah sebelum jumlah keseluruhan meningkat kepada 16 rumah yang terbakar sepenuhnya, dengan anggaran keluasan kawasan terjejas 52 x 95 meter persegi.
Seramai 45 anggota bomba daripada BBP Tawau, BBP Kunak dan Bomba Komuniti Titingan digerakkan bagi membantu operasi berkenaan.
“Operasi turut mendapat bantuan agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Air dan Sabah Electricity,” jelasnya.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.55 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.25 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.