KOTA KINABALU: Keputusan inkues kematian Zara Qairina Mahathir dijadual akan diumumkan pada 15 Januari 2027 selepas prosiding yang berlangsung selama 96 hari selesai dengan 83 saksi dipanggil memberikan keterangan.
Pasukan Peguam ibu Zara, Shahlan Jufri berkata, pihak terlibat perlu memfailkan hujahan bertulis selewat-lewatnya pada 15 Disember 2026 sebelum sesi klarifikasi diadakan pada 8 Januari 2027, seminggu sebelum keputusan inkues diumumkan.
Menurutnya, Hakim Koroner turut meminta pihak terlibat memperincikan isu percanggahan keterangan saksi dan bukti, selain memberikan gambaran keseluruhan mengenai lawatan tapak yang dijalankan di berkenaan.
“Selepas ini, pihak kami akan menyiapkan hujahan bertulis tersebut. Kita mempunyai masa lebih kurang dua bulan untuk menyiapkannya, dan pada bulan Januari akan diadakan hujahan secara lisan semingggu sebelum keputusan dibuat.
“Nota prosiding megandungi 5,000 dan terdapat beberapa percanggahan. Kami juga meneliti pandangan pakar. Jadi, kami akan memasukkan kesemua hujahan berkenaan di dalam hujahan bertulis nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Mahkamah, di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata, prosiding inkues itu turut menyaksikan sebanyak 350 eksibit dokumen dikemukakan di mahkamah.
Katanya, pasukannya turut berharap keputusan yang bakal dibuat Koroner kelak dapat memberikan keadilan kepada semua pihak.
Tambah beliau, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada pihak media atas liputan sepanjang prosiding inkues sejak September tahun lalu, sambil menyifatkan pengamal media sebagai profesional dalam melaporkan perkembangan prosiding secara tepat dan pantas.
Untuk rekod, Zara Qairina, 13 tahun, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran longkang di asrama SMKA TDM, Papar, pada awal pagi 16 Julai tahun lepas.