KOTA KINABALU: Hutang Kerajaan Negeri Sabah kepada Kerajaan Persekutuan meningkat hanya 4.16 peratus bagi tempoh 2024 hingga 2025, berbanding dakwaan kenaikan 100.74 peratus seperti dipaparkan dalam infografik yang tular di Facebook.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim, berkata perbezaan angka itu perlu diperjelaskan bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai berhubung kedudukan hutang negeri.
Beliau berkata, maklumat berkaitan kewangan kerajaan perlu disampaikan secara lengkap, tepat dan disertakan sumber yang boleh disahkan supaya rakyat dapat menilai sesuatu isu berdasarkan fakta sebenar.
“Jangan kelirukan rakyat dengan angka yang tidak dijelaskan konteksnya. Jika benar mahu mendidik rakyat, bentangkan fakta yang lengkap dan sumber yang boleh disahkan.
“Jangan memanipulasi angka semata-mata untuk memburukkan kerajaan negeri. Malah, angka dalam infografik itu juga dipertikai kebenarannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azrul berkata, penyebaran maklumat tanpa penjelasan yang mencukupi boleh menimbulkan persepsi tidak tepat dalam kalangan masyarakat, terutama apabila membabitkan isu kewangan kerajaan.
Beliau turut mengingatkan bahawa perbezaan pandangan politik adalah hak setiap individu, namun ia tidak seharusnya menjadi alasan untuk memutarbelitkan fakta demi kepentingan tertentu.
Katanya, semua pihak perlu bertanggungjawab ketika berkongsi maklumat di media sosial dengan memastikan kesahihan sumber serta konteks angka yang digunakan.
“Sabah tidak akan maju jika ruang awam terus dipenuhi fitnah dan kebencian.
“Kalau tidak mahu mengiktiraf kejayaan kerajaan, janganlah pula menyebarkan propaganda demi meraih sokongan. Berbeza pandangan itu hak masing-masing, tetapi jangan sampai fakta diputar belit demi kepentingan politik,” katanya.
Sehubungan itu, Azrul menyeru masyarakat supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, sebaliknya merujuk sumber rasmi bagi mendapatkan gambaran lebih tepat mengenai kedudukan kewangan negeri.