Lelaki tular mengamuk di Pekan Keningau positif dadah

KENINGAU: Lelaki tempatan berusia 47 tahun yang tular di media sosial kerana didakwa mengamuk dan mengganggu ketenteraman awam di daerah ini disahkan positif dua jenis dadah, iaitu methamphetamine dan amphetamine.

Lelaki terbabit ditahan sepasukan anggota Rondaan Cegah Jenayah Balai Polis Keningau di hadapan sebuah restoran, di sini, kira-kira jam 3.30 petang, kemarin.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Erwansyah Abdul Basir berkata, tangkapan itu dilakukan susulan aduan orang awam serta maklumat berhubung kejadian yang tular di media sosial.

Menurutnya, suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Keningau sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau untuk menjalani ujian saringan awal air kencing.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Suspek kini ditahan dan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan PDRM Keningau akan terus mempergiat pemantauan serta mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat di daerah ini sentiasa terpelihara.