Tujuh warga China salah guna Pas Lawatan Sosial ditahan di Semporna

SEMPORNA: Tujuh lelaki warga China ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah selepas disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial untuk bekerja di sebuah premis resort di Semporna, semalam.

Penahanan itu sebahagian daripada 32 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam Ops Wilayah di Tawau dan Semporna pada 8 dan 9 November lalu.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata operasi berkenaan diketuai beliau sendiri dengan kekuatan 102 pegawai imigresen, masing-masing 60 pegawai di Tawau dan 42 di Semporna.

Beliau berkata, pemeriksaan Bahagian Inspektorat di premis resort berkenaan membabitkan 14 individu terdiri daripada sembilan warga China dan lima rakyat tempatan.

“Hasil pemeriksaan, tujuh lelaki warga China ditahan kerana disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial untuk bekerja.

“Siasatan lanjut mendapati premis berkenaan tidak mempunyai permohonan ekspatriat, selain beroperasi di atas tanah seluas 4.4 ekar yang disewa serta tidak memiliki lesen Majlis Daerah Semporna dan lesen pengendalian pelancongan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sepanjang operasi yang turut membabitkan Ops Jaja, Belanja, Kutip, Sapu dan Mahir itu, seramai 324 individu diperiksa di kedua-dua daerah.

Katanya, pemeriksaan di Tawau pada 8 November membabitkan 218 individu di enam premis, terdiri daripada 159 rakyat tempatan, 42 warga Indonesia dan 17 warga Filipina.

“Seramai 24 individu ditahan di Tawau, masing-masing 14 warga Indonesia dan 10 warga Filipina.

“Di Semporna pula, 106 individu diperiksa dengan lapan ditahan, termasuk tujuh warga China menerusi Ops Mahir di sekitar resort dan seorang warga Filipina di kawasan pasar,” katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, pemeriksaan di Batu 1½, Bubul mendapati sebuah syarikat pembinaan mempunyai enam pekerja ekspatriat dengan pas lanjutan yang sah bagi menjalankan projek komersial di Lot Fasa 2 serta mematuhi syarat ditetapkan.

Sitti Saleha berkata, semua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Tawau untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan di lokasi strategik seluruh Sabah bagi membanteras kehadiran PATI.

Sehubungan itu, katanya, majikan diingatkan supaya mematuhi prosedur pengambilan pekerja asing serta memastikan dokumen dan kelulusan berkaitan adalah sah dan berdaftar.

“Orang ramai turut diminta tidak melindungi PATI dan menyalurkan maklumat kepada JIM menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di https://spab.gov.my atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) di https://eapp.imi.gov.my,” katanya.