KUALA LUMPUR: Sebanyak tiga tan dadah disyaki methamphetamine atau syabu bernilai RM156 juta dipercayai diseludup keluar melalui dua pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sabah dan Labuan sejak Ogos 2024.
Kegiatan penyeludupan berskala besar itu membabitkan 21 transaksi yang dikesan menerusi risikan berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sekali gus mendedahkan bagaimana sindiket jenayah terancang mengeksploitasi kemudahan penerbangan tentera sebagai laluan transit antarabangsa.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada jumlah itu, 14 transaksi melalui Pangkalan TUDM Labuan membabitkan 1.2 tan syabu bernilai RM63 juta, manakala tujuh lagi melalui Pangkalan TUDM Tawau, Sabah membabitkan 1.8 tan bernilai RM93 juta.
Beliau berkata, jumlah dadah berkenaan berpotensi memberi bekalan kepada jutaan individu sekiranya kegiatan sindiket terbabit tidak dibongkar dan dilumpuhkan.
“Pengambilan methamphetamine hanya memerlukan 0.02 gram (g), jadi jika jumlah tangkapan ini sahaja sudah tiga tan, bahan ini mampu memberikan bekalan kepada 15 juta orang.
“Bayangkan kalau kita tidak lumpuhkan kegiatan ini, mangsanya berjuta-juta orang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai kaedah sindiket penyeludupan dadah mengeksploitasi kemudahan penerbangan TUDM di Sabah sebagai laluan transit antarabangsa.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, kerajaan memandang serius kegiatan itu kerana membabitkan sindiket jenayah terancang yang dipercayai mengeksploitasi anggota, kemudahan, aset serta infrastruktur strategik negara.
Katanya, siasatan akan diperluaskan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian sindiket termasuk peranan setiap individu yang terbabit, tanpa mengira kedudukan atau pangkat.
“Ketua sindiket masih bebas, tetapi kita sudah mengenal pasti individu berkenaan. Saya yakin dalam sedikit masa lagi kita akan berjaya menangkapnya dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
“Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) juga akan digunakan,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini seramai 13 individu ditahan, termasuk tujuh pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam.
“Siasatan turut membawa kepada rampasan 96.64 kilogram (kg) syabu bernilai RM4.83 juta, selain sitaan tiga kenderaan bernilai RM172,062,” katanya
Menurutnya, walaupun risikan bermula pada Januari 2026, siasatan awal mendapati kegiatan itu dipercayai sudah beroperasi sejak beberapa tahun lalu dan membabitkan sindiket besar yang mempunyai rangkaian tersusun.
Katanya, sebahagian individu yang terbabit sudah ditangkap, didakwa dan dipenjarakan, manakala usaha mengesan anggota sindiket lain yang masih bebas diteruskan.
Menjawab persoalan bagaimana kemudahan penerbangan tentera dieksploitasi, beliau berkata, siasatan awal mendapati terdapat individu yang mempunyai akses serta hubungan dengan personel dan operasi penerbangan tentera.
“Kita percaya perkara ini menjadi permulaan kepada sindiket untuk menggunakan kemudahan berkenaan bagi tujuan penyeludupan,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata, harga syabu di pasaran tempatan dianggarkan sekitar RM50,000 sekilogram, namun boleh mencecah RM450,000 sekilogram di pasaran antarabangsa, menjadikan kegiatan itu perniagaan yang amat menguntungkan sindiket.