Tak perlu ‘kingmaker’ Sabah dan Sarawak, BN-PN berpotensi bentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU16 – Larry Sng

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Larry Sng Wei Shien berpandangan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berpotensi membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) tanpa perlu bergantung pada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai kuasa penentu atau ‘kingmaker’.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini menunjukkan kecenderungan yang boleh memberi kelebihan kepada BN dan PN pada pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), jumlah gabungan kerusi yang dimenangi BN dan PN adalah sebanyak 98 kerusi Parlimen.

“Jumlah kerusi minimum untuk membentuk Kerajaan Persekutuan ialah 112. Ini bermakna hanya memerlukan tambahan 14 kerusi lagi.

Pimpinan BN dan PN mengangkat tangan sebagai tanda meraikan kemenangan selepas berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

“Dengan mengambil kira trajektori sokongan semasa dan tanpa mengambil kira penjajaran politik parti-parti dari Sabah dan Sarawak, saya percaya BN dan PN mempunyai peluang yang tinggi untuk memperoleh majoriti mudah selepas PRU16,” katanya.

Larry berkata, jika senario itu menjadi kenyataan, parti-parti dari Sabah dan Sarawak seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak lagi memainkan peranan sebagai ‘kingmaker’ dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pandangan itu dibuat berdasarkan perkembangan politik semasa serta keputusan beberapa pilihan raya negeri, selain tidak mengambil kira perubahan landskap politik yang mungkin berlaku menjelang PRU16.