Kebun Dapur utamakan pelaksanaan, bukan budaya memberi – Jamawi

KOTA MARUDU, 4 Ogos 2026: Inisiatif Kebun Dapur yang diperkenalkan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) bukan lagi berasaskan konsep bantuan semata-mata, sebaliknya menekankan pelaksanaan terlebih dahulu sebelum peserta yang menunjukkan potensi diberikan sokongan bagi memastikan kadar kejayaan program lebih tinggi.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pendekatan baharu itu diperkenalkan selepas kajian terhadap program-program terdahulu mendapati kadar kejayaannya hanya sekitar 35 peratus.

“Budaya memberi lebih banyak daripada budaya melaksanakan menyebabkan ada program yang gagal. Kali ini kita mahu mereka melaksanakan dahulu. Apabila sudah menunjukkan kemajuan dan berpotensi, barulah kita bantu dengan lebih menyeluruh,” katanya selepas melancarkan Jelajah Kebun Dapur Parlimen Kota Marudu di Dataran Utama, Kota Marudu, hari ini.

Jamawi berkata, Kota Marudu merupakan Parlimen kelapan yang menyertai siri jelajah itu, dengan sasaran untuk menjelajah kesemua 25 kawasan Parlimen di Sabah.

Katanya, program itu bertujuan mendekati masyarakat termasuk petani, penternak, nelayan, penoreh getah serta pemain industri makanan di seluruh negeri, selain memberi penerangan lebih jelas mengenai pelaksanaan Inisiatif Kebun Dapur.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin tempatan yang hadir serta agensi dan jabatan yang mengadakan pameran. Saya berharap pameran dan taklimat ini dapat memberi kefahaman yang lebih jelas kepada masyarakat kerana masih ada yang keliru dan menyangka inisiatif ini hanya sekadar pemberian bantuan seperti program-program terdahulu,” katanya.

Jamawi berkata, kementeriannya turut melantik pegawai pertanian daerah dan pegawai kementerian di setiap daerah bagi membantu mengurus serta memantau pelaksanaan kebun dapur.

Beliau berkata, peserta yang menunjukkan prestasi baik akan dibantu mendapatkan pembiayaan termasuk melalui Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) dan Agrobank dengan penyelarasan bersama agensi pembiayaan berkaitan.

Selain itu, katanya, kementerian juga akan melantik mentor dalam kalangan usahawan berjaya bagi membimbing peserta terutama dari segi pengurusan kewangan, akaun dan pentadbiran perniagaan.

“Kita mahu mereka bukan sahaja berjaya menghasilkan produk, tetapi juga mampu mengurus kewangan dengan baik supaya perniagaan terus berkembang dan memperoleh keuntungan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jamawi berkata, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan RM450,000 bagi Pusat Pembenihan Tanaman Buah-buahan di Kota Marudu yang akan dijadikan pusat sehenti pengeluaran bahan tanaman untuk kawasan utara meliputi Kota Marudu, Kudat, Kota Belud dan kawasan sekitarnya.

Beliau berkata, projek itu bukan projek baharu kerana kemudahan tersebut sudah sedia ada di bawah Kerajaan Persekutuan namun memerlukan kerja-kerja penambahbaikan serta penambahan bahan tanaman baharu sebelum dapat beroperasi dengan lebih berkesan.

Mengenai isu BUDI Diesel, Jamawi berkata, Kabinet Negeri telah menerima taklimat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) berhubung rundingan dengan Kementerian Kewangan Persekutuan mengenai cadangan penambahbaikan skim berkenaan.

“Pada peringkat awal, Kabinet telah mengamanahkan Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai urus setia untuk berunding dengan Kementerian Kewangan. Mengikut taklimat yang diterima, kementerian memerlukan kira-kira dua hingga tiga minggu lagi untuk memperhalusi cadangan daripada Kerajaan Negeri termasuk cadangan yang dikemukakan oleh kementerian saya.

“Kita berharap akan ada perubahan dan penambahbaikan terhadap BUDI Diesel untuk rakyat Sabah kerana keadaan muka bumi, jarak perjalanan dan rangkaian jalan raya di Sabah berbeza berbanding di Semenanjung,” katanya.

Hadir sama Pembantu Menteri MAFFI I dan II, Datuk Haji Ruslan Muharam dan Datuk Hendrus Anding yang juga ADUN Tandek; Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah merangkap ADUN Bandau, Datuk Maijol Mahap; Timbalan Setiausaha Tetap I dan III, Awang Dzulkernain Awang Hassan dan Shariffah Aznior Jap; Pegawai Daerah Kota Marudu, Meirin Sugara dan Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Supt. Simiun Lomidun.

Terdahulu, Jamawi meninjau projek mini estate padi Kg Bengkahak, projek tanaman nanas MD2 Kg Gana dan pusat ternakan lembu yang dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kota Marudu.