TAWAU: Seorang lelaki berusia lingkungan 60-an maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik di kawasan Taman Kinabutan Ria, di sini, petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, TPgB Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.09 petang sebelum tujuh anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, pasukan bomba tiba pada jam 6.25 petang, kira-kira 10 kilometer dari balai, dan mendapati seorang mangsa tertiarap di atas tanah dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pasukan bomba meminta bantuan pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk memotong bekalan elektrik di kawasan kejadian sebelum mangsa berjaya diambil.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Operasi ditamatkan pada jam 7.42 malam selepas pihak bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.