KOTA KINABALU: Sambutan Hari Malaysia perlu disertai penghayatan lebih mendalam terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai dokumen asas pembentukan Persekutuan Malaysia, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata, kefahaman mengenai sejarah pembentukan negara tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957, sebaliknya turut merangkumi sejarah dan terma yang membawa kepada pembentukan Malaysia pada 1963.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, MA63 perlu difahami secara menyeluruh kerana perjanjian berkenaan mengandungi komitmen dan tanggungjawab pihak yang bersetuju membentuk Persekutuan Malaysia.
“Kesedaran tentang sejarah kemerdekaan negara bukan sekadar memerlukan kefahaman terhadap Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, kontrak sosial antara tiga kaum utama dan kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957.
“Malah, menuntut penerimaan sepenuhnya terhadap sijil lahir Persekutuan Malaysia itu sendiri, iaitu MA63,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Malaysia, hari ini.
Menurutnya, Artikel VIII MA63 secara jelas memperuntukkan bahawa kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara dan Sarawak perlu mengambil tindakan perundangan, eksekutif atau tindakan lain yang diperlukan bagi melaksanakan jaminan, aku janji dan syor yang terkandung dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
Katanya, terma berkenaan menjadi penegasan terhadap komitmen dan tanggungjawab semua pihak yang memeterai perjanjian bagi membentuk Malaysia.
“Terma-terma perjanjian secara tersurat menzahirkan MA63 itu tidak akan ternoktah sebaik tergubalnya Perlembagaan Persekutuan.
“MA63 terus hidup dan komitmen serta tanggungjawab yang digariskan kekal relevan dan mengikat dulu, kini dan selamanya,” katanya.
Armizan berkata, sempena Hari Malaysia ke-63 tahun ini, rakyat perlu melihat sambutan berkenaan sebagai kesempatan untuk memahami setiap episod dan lipatan sejarah pembentukan Malaysia dengan lebih menyeluruh.
Beliau berkata, negara tidak memerlukan perjanjian baharu atau apa yang disebut sebagai ‘new deal’ kerana terma dalam MA63 sudah menggariskan komitmen serta tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.
“Melangkah ke hadapan, negara ini tidak memerlukan perjanjian baharu ataupun apa yang disebut sebagai ‘new deal’ oleh sesetengah pihak.
“Ini kerana hakikatnya terma-terma perjanjian secara tersurat menzahirkan MA63 itu tidak akan ternoktah sebaik tergubalnya Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berharap penghayatan terhadap MA63 dapat menyumbang kepada pembentukan Malaysia yang lebih utuh, maju, makmur dan selamat untuk seluruh rakyat.
“Moga Malaysia lebih utuh dan maju, tanah air yang makmur dan selamat untuk sekalian rakyatnya,” katanya.