BIGSABAH Sale sasar 100,000 pengunjung, berkembang sebagai hab perdagangan East ASEAN

KOTA KINABALU: BIGSABAH Sale 2026 menyasarkan lebih 100,000 pengunjung dalam tempoh tiga hari, selain memperluas peranannya daripada acara jualan kepada platform perdagangan yang menghubungkan perniagaan Sabah dengan pasaran serantau East ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif SICC merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur BIGSABAH Sale 2026, Datuk Dr Rosmawati Lasuki berkata, penganjuran tahun ini memberi penekanan lebih besar kepada hubungan perniagaan dan akses pasaran serantau, khususnya menerusi pendekatan Business-to-Business (B2B).

Katanya, BIGSABAH Sale 2026 menerusi tema “Across Markets, Beyond Borders” mengambil kira kedudukan strategik Sabah di East ASEAN serta hubungan geografi dan ekonomi yang rapat dengan Brunei, Indonesia dan Filipina.

“B2C memberi perniagaan pelanggan. B2B pula boleh memberi perniagaan pasaran. Satu hubungan perniagaan yang bermakna kadangkala lebih bernilai daripada jualan runcit selama tiga hari,” katanya.

Menurutnya, menerusi program padanan perniagaan dan aktiviti berorientasikan perdagangan, pempamer berpeluang bertemu pembeli, pengedar, peruncit, pengimport, pelabur serta rakan strategik bagi membina hubungan perniagaan yang boleh diteruskan selepas acara berakhir.

Rosmawati berkata, BIGSABAH Sale 2026 dibangunkan dengan aspirasi untuk menjadi pasaran perdagangan dan pengguna yang diiktiraf di East ASEAN, dengan mengambil contoh pameran antarabangsa seperti Canton Fair yang menghubungkan pembeli dan penjual secara berterusan.

Beliau berkata, kejayaan penganjuran tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah kehadiran semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira nilai perniagaan, peluang pasaran dan aktiviti ekonomi yang stabil.

Penganjuran BIGSABAH Sale 2025 merekodkan 80,615 pengunjung dengan 650 reruai, manakala edisi tahun ini menyasarkan lebih 100,000 pengunjung.

Pada masa sama, penganjuran BIGSABAH Sale 2026 dijangka menyumbang kepada momentum sektor pelancongan Sabah apabila negeri itu merekodkan 3.79 juta ketibaan pelawat pada 2025, meningkat 20.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sehingga Ogos 2026, Sabah merekodkan 2,556,823 ketibaan pelawat, meningkat 4.1 peratus, termasuk 1,100,546 pelawat antarabangsa yang mencatat pertumbuhan 6.9 peratus.

Antara program yang turut dijadualkan ialah Big Bad Wolf Book Fair, AI Business Scale-Up Bootcamp, CULT – Car Culture Festival 2026, Agro Forum and Trade Connect, pertunjukan fesyen, bengkel fotografi dan protokol, pertandingan e-sukan serta pelbagai aktiviti lain.

BIGSABAH Sale 2026 akan berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC) dari 30 Oktober hingga 1 November ini dengan lebih 600 reruai disediakan.