Suri rumah didakwa terlibat transaksi wang dalam talian tanpa maksud sah

TAWAU : Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan melibatkan diri secara tidak langsung dalam transaksi pemindahan wang dalam talian menggunakan akaun simpanannya tanpa maksud yang sah.

Surianti Amiruddin, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melibatkan diri secara tidak langsung dalam suatu transaksi pemindahan wang dalam talian menggunakan akaun simpanan Maybank atas namanya sendiri tanpa maksud yang sah di Maybank cawangan Lahad Datu, pada Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM150,000 atau penjara selama tempoh tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berikutan pengakuan tidak bersalah itu, Pegawak Pendakwa Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin memohon satu tarikh baharu bagi serahan dokumen dan pengurusan kes pra-perbicaraan.

Pendakwaan turut menawarkan jaminan RM5,000 dengan dua orang penjamin tempatan yang beralamat di Tawau.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Jhessery P Kang, memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan mengambil kira tertuduh merupakan seorang suri rumah yang tidak bekerja serta mempunyai dua orang anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan dua orang penjamin tempatan, masing-masing beralamat di Tawau dan Lahad Datu.

Mahkamah menetapkan 20 Oktober depan bagi serahan dokumen dan pengurusan kes pra-perbicaraan.