Belia Malaysia-Jepun Pupuk Minda Hijau demi Kelestarian Serantau


KOTA KINABALU: Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (ITBC), Universiti Malaysia Sabah (UMS), menganjurkan International Youth Sustainability Action Programme 2026 bersama UTSS Jepun dan SMK Taman Tun Fuad dari 30 September hingga 2 Oktober lalu.
 
Program selama tiga hari itu menghimpunkan 19 delegasi dari Jepun bersama kira-kira 30 pelajar sekolah menengah dan mahasiswa UMS bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran belia dalam pemuliharaan biodiversiti Borneo dan pembangunan mampan.
 
Inisiatif berkenaan turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG 2030) melalui jaringan dan perkongsian pengetahuan dalam kalangan belia di peringkat serantau.
 
Sepanjang program, peserta mengikuti ceramah khusus yang disampaikan pakar biodiversiti, lawatan interpretatif ke Galeri BORNEENSIS serta sesi interaktif di Taman Botani Tropika ITBC.
 
Peserta turut menyertai bengkel Pengurusan Kitaran Projek (PCM) bagi merangka pelan tindakan kelestarian yang boleh dilaksanakan di sekolah dan universiti masing-masing.
 
Di SMK Taman Tun Fuad, peserta didedahkan kepada kepelbagaian budaya tempatan dan aspek pendidikan inklusif menerusi aktiviti tarian tradisional, permainan serta interaksi bersama pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dalam aktiviti pertanian, masakan dan susun cawan.
 
Ketika merasmikan majlis penutupan mewakili Pengarah ITBC, Prof. Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim, Timbalan Pengarah ITBC, Ts. Dr. Soo Chen Lin, menekankan kepentingan Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD).
 
“Program ini dirangka bagi memberi peluang keemasan kepada para belia Jepun untuk memperoleh pemindahan pengetahuan dan kemahiran,” katanya.
 
“Program ini turut memberi motivasi untuk berganding bahu dalam usaha pemuliharaan biodiversiti global dan pembangunan mampan. Impak serta pencapaian dalam membentuk minda hijau dalam kalangan belia juga sama penting dan bernilai seperti pencapaian lain,” tambahnya.
 
Mewakili peserta pelajar, Yokozeki Koto menzahirkan penghargaan terhadap pengalaman dan kerjasama yang diperoleh sepanjang program.
 
“Walaupun terdapat beberapa cabaran seperti halangan bahasa, pengalaman yang kami peroleh di sini amat berharga,” katanya.
 
“Melalui bengkel, kami berpeluang mengalami sendiri proses menyelesaikan masalah bersama. Sekiranya diberi peluang lagi, saya ingin membincangkan isu spesies terancam dan langkah pemuliharaan bersama mahasiswa tempatan bagi meluaskan pengetahuan kami,” tambahnya.
 
Sementara itu, Penyelaras Program merangkap Ketua Makmal Hidup BORNEENSIS, Kueh Boon Hee @ Kelvin, berkata kitaran kedua program berkenaan menjadi langkah penting ke arah pengembangan program pada masa hadapan.
 
“Sejak 2023, Makmal Hidup BORNEENSIS telah menganjurkan lebih 10 program teras ESD,” katanya.
 
“Kami amat yakin program ini dapat diperluas dengan penyertaan lebih ramai peserta dan tempoh pelaksanaan yang lebih panjang di lebih banyak lokasi pembelajaran di Sabah. Program ini juga akan dikembangkan sebagai program tahunan antara ITBC dan UTSS,” katanya.