Tiga individu ditahan, lapan paket syabu dirampas di Lahad Datu

LAHAD DATU: Tiga individu ditahan dalam dua serbuan berasingan menerusi Op Tapis yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, awal pagi, Selasa lalu.

Dalam operasi itu, polis turut merampas lapan paket disyaki syabu seberat 6.05 gram bernilai kira-kira RM660.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, serbuan pertama dilakukan kira-kira jam 11.45 malam pada 5 Oktober di sebuah pondok pencawang telekomunikasi di Kampung Tanjung Labian, Jalan Tungku.

Menurutnya, serbuan itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan seorang wanita warga Filipina berusia 29 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan.

“Kedua-dua suspek dipercayai berasal dari Kampung Lok Buani, Tungku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis kemudian meneruskan operasi dengan serbuan kedua kira-kira jam 3 pagi pada 6 Oktober di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Agaseh, Jalan Agaseh.

Katanya, seorang wanita warga Filipina berusia 50 tahun yang tidak mempunyai dokumen ditahan dalam serbuan berkenaan.

“Suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan selepas berlaku sedikit pergelutan dengan anggota polis.

“Hasil pemeriksaan, polis menemukan sebuah bekas berwarna ungu bertulis ‘HABIB’ yang mengandungi tujuh paket disyaki syabu seberat kira-kira enam gram, dianggarkan bernilai RM650.

“Turut dirampas ialah gunting, penyedut minuman yang diubah suai dan segulung kertas timah,” katanya

Dzulbaharin berkata, keseluruhannya tiga individu ditahan dalam kedua-dua serbuan itu, manakala lapan paket disyaki syabu seberat 6.05 gram dirampas.

“Bagaimanapun, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek negatif dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek akan dipohon reman bagi membantu siasatan lanjut.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah kepada pihak polis.

Katanya, maklumat boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan IPD Lahad Datu di talian 089-881222 atau talian kecemasan 999.

“Pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti dadah dan akan terus mempergiatkan operasi banteras bagi memastikan daerah Lahad Datu bebas daripada ancaman dadah.

“Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.