KTC lahirkan 256 graduan teknikal mahir sepanjang 15 tahun

KOTA KINABALU: Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC) kendalian PETRONAS meraikan ulang tahun ke-15 penubuhannya dengan merekodkan seramai 256 graduan teknikal mahir yang dilahirkan sejak pusat latihan itu ditubuhkan pada 2011.

Pencapaian berkenaan diraikan menerusi majlis konvokesyen KTC bagi 25 pelatih yang menamatkan program Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4 dalam bidang Instrumentasi Perindustrian dan Sistem Kawalan selepas mengikuti latihan selama tiga tahun.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Technical Training Sdn Bhd, Ts. Azhar Ahmad, berkata perjalanan KTC sepanjang 15 tahun mencerminkan komitmen PETRONAS dalam memperkasakan belia Sabah menerusi pendidikan dan latihan teknikal yang memenuhi keperluan industri.

Katanya, KTC bukan sahaja menyediakan pendidikan teknikal, malah memberikan latihan praktikal dan pendedahan industri secara menyeluruh bagi mempersiapkan belia memasuki alam pekerjaan.

“Melalui KTC, belia Sabah berpeluang mengikuti pendidikan teknikal, latihan praktikal dan pendedahan industri yang menyeluruh bagi mempersiapkan mereka untuk memasuki alam pekerjaan.

“Kami berharap graduan KTC akan terus memanfaatkan kemahiran yang diperoleh untuk membina kerjaya yang mampan serta masa depan yang lebih baik untuk diri sendiri dan keluarga mereka,” katanya.

Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Hassan Mahali, menyampaikan sijil graduasi kepada para graduan pada majlis berkenaan.

Turut hadir Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Datuk Siti Ayu Abdul Wahab.

Menurutnya, pencapaian KTC turut dapat dilihat apabila sebahagian besar daripada 25 graduan yang menamatkan latihan pada Jun lalu telah memperoleh pekerjaan, sekali gus mencerminkan keberkesanan program yang ditawarkan.

KTC diiktiraf sebagai pusat bertauliah oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia dan menawarkan program DKM Tahap 4 secara sepenuh masa selama tiga tahun.

Program berkenaan menggabungkan pembelajaran teori dengan latihan amali menerusi kemudahan simulasi bertaraf industri yang direka bagi memberikan pengalaman pembelajaran menyerupai operasi sebenar di lapangan.