UiTM Tawau mesti dikekalkan, Nizam gesa jaminan KPT

TAWAU: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) digesa memberi jaminan bahawa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah Kampus Tawau akan terus dikekalkan sebagai kampus berfungsi sepenuhnya, termasuk identiti dan peranan akademiknya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata sebarang cadangan rasionalisasi operasi kampus berkenaan perlu mengambil kira kepentingan pendidikan tinggi anak-anak di Pantai Timur Sabah.

Beliau berkata, walaupun Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dilaporkan menjelaskan kampus itu tidak akan ditutup, cadangan penggunaan kemudahan berkenaan sebagai hab pendidikan membabitkan institusi lain masih menimbulkan persoalan mengenai hala tuju sebenar UiTM Tawau.

Katanya, pengekalan kampus bukan sekadar memastikan bangunan terus digunakan bagi tujuan pendidikan, sebaliknya identiti institusi, fungsi akademik serta peluang pengajian perlu terus dipelihara.

“UiTM Tawau mesti dikekalkan sebagai sebuah kampus UiTM yang berfungsi sepenuhnya kerana kewujudannya adalah hasil perjuangan dan usaha berterusan pemimpin tempatan terdahulu bersama sokongan kerajaan negeri serta masyarakat.

“Sejak mula beroperasi pada 1996, UiTM Tawau memainkan peranan penting menyediakan laluan pendidikan tinggi kepada anak-anak Bumiputera dari Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu dan kawasan sekitarnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nizam berkata, kewujudan kampus itu membolehkan pelajar tempatan melanjutkan pengajian tanpa perlu menanggung kos tambahan yang tinggi bagi perjalanan, penginapan dan sara hidup sekiranya terpaksa berpindah ke daerah atau negeri lain.

Beliau turut mengambil perhatian terhadap angka 254 pelajar setakat 30 September 2026 yang dibangkitkan Menteri Pendidikan Tinggi dalam penjelasannya di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, katanya, jumlah pelajar itu tidak seharusnya dijadikan ukuran tunggal untuk menentukan keperluan atau tahap penggunaan sesebuah kampus.

“Sebaliknya, penilaian menyeluruh perlu mengambil kira kapasiti sebenar kemudahan akademik termasuk bilik kuliah, kemudahan pengajaran dan pembelajaran serta keupayaan kampus menampung pelajar secara berkesan.

“Keupayaan menyediakan tempat tinggal kepada pelajar tidak semestinya sama dengan kemampuan menampung jumlah pelajar yang setara dalam bilik kuliah dan kemudahan akademik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap KPT memberikan penjelasan terperinci mengenai asas penilaian yang digunakan dalam cadangan rasionalisasi berkenaan bagi memastikan keputusan dibuat berdasarkan keperluan sebenar pendidikan masyarakat di Pantai Timur Sabah.

Pada masa sama, beliau berpandangan UiTM Tawau masih mempunyai potensi untuk dikembangkan menerusi penawaran program pengajian lebih pelbagai dan bersesuaian dengan keperluan pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan serta industri tempatan.

Beliau turut menegaskan sebarang perancangan mewujudkan institusi pendidikan baharu sewajarnya menjadi pelengkap kepada institusi sedia ada dan bukannya menggantikan peranan UiTM Tawau.

Nizam juga berharap pandangan Kerajaan Negeri Sabah, pengurusan UiTM, warga akademik, alumni serta masyarakat setempat diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung masa depan kampus berkenaan.