UiTM Tawau perlu dikekalkan demi akses pendidikan tinggi di Pantai Timur Sabah – Armizan

PAPAR: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah Kampus Tawau perlu dikekalkan bagi memastikan masyarakat, khususnya penduduk di Pantai Timur Sabah, terus mendapat akses kepada pendidikan tinggi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, proses rasionalisasi yang sedang dilaksanakan UiTM tidak seharusnya membawa kepada penutupan operasi kampus berkenaan.

Beliau berkata, perkara itu selaras dengan komitmen Menteri Pendidikan Tinggi yang menjelaskan di Dewan Rakyat pada 11 November lalu bahawa proses rasionalisasi UiTM tidak akan membabitkan penutupan mana-mana kampus.

Menurutnya, proses berkenaan merupakan kajian menyeluruh terhadap semua kampus UiTM, termasuk dari aspek jumlah pelajar, kemudahan dan penawaran kursus.

“Bagaimanapun, bagi UiTM Tawau, saya berpandangan kampus ini perlu dipertahankan kerana mempunyai kepentingan tersendiri dalam menyediakan kemudahan pendidikan tinggi kepada masyarakat di Pantai Timur Sabah.

“Keperluan UiTM Tawau tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah pelajar ketika ini semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira tanggungjawab sosial kerajaan menyediakan fasiliti pendidikan tinggi di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Program anjuran Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di Sekolah Menengah Kebangsaan Penggalat, di sini, hari ini.

Armizan berkata, kos yang perlu ditanggung pelajar dari Sabah sekiranya terpaksa melanjutkan pengajian ke Semenanjung Malaysia atau Kota Kinabalu juga perlu diberikan perhatian.

Sehubungan itu, katanya, pelbagai pendekatan boleh dipertimbangkan bagi meningkatkan kemasukan pelajar ke UiTM Tawau, termasuk menilai semula penawaran kursus supaya lebih bersesuaian dengan keperluan semasa.

Beliau turut memaklumkan akan bersama Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mendapatkan penjelasan lanjut daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhubung perkara itu.

Katanya, perbincangan juga boleh diadakan bersama Kerajaan Negeri Sabah bagi mengenal pasti langkah terbaik meningkatkan kemasukan pelajar serta meneliti penawaran kursus yang sesuai di kampus berkenaan.

Beliau berharap kerjasama semua pihak dapat memastikan UiTM Tawau terus beroperasi dan memainkan peranan menyediakan peluang pendidikan tinggi kepada masyarakat di Pantai Timur Sabah.