KOTA KINABALU: Pencapaian akademik tidak seharusnya mengorbankan kesejahteraan emosi golongan muda kerana daya tahan emosi, keyakinan diri dan keupayaan mengurus tekanan kehidupan sama penting dalam mempersiapkan Generasi Z menghadapi masa depan.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, pembangunan golongan muda tidak seharusnya dinilai berdasarkan keputusan peperiksaan dan kelayakan akademik semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira keupayaan mereka mengatasi kegagalan serta menyesuaikan diri dengan persekitaran yang semakin mencabar.
Beliau berkata, meskipun Generasi Z mempunyai akses lebih luas kepada teknologi, maklumat dan peluang pendidikan, mereka turut berhadapan pelbagai cabaran termasuk tekanan sosial, buli siber dan ketidaktentuan mengenai masa depan.
“Mempersiapkan golongan muda untuk menghadapi masa depan memerlukan lebih daripada kecemerlangan akademik. Kita juga perlu memastikan mereka mempunyai kematangan emosi, keyakinan diri dan daya tahan untuk mengurus tekanan serta cabaran yang dihadapi dalam kehidupan seharian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program “Cabaran dan Peluang Generasi Z” anjuran Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) dan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) di sini pada Sabtu.
Program berkenaan turut menampilkan perbincangan mengenai komunikasi keluarga, pengurusan emosi, literasi kewangan, pembangunan kerjaya serta peluang dalam ekonomi digital.
Julita turut menggesa ibu bapa agar mengambil serius cabaran emosi yang dihadapi generasi muda masa kini dan tidak menganggap kebimbangan mereka sekadar masalah biasa golongan remaja.
Beliau berkata, ibu bapa perlu mengamalkan komunikasi yang lebih terbuka serta mengelakkan pendekatan terlalu mengawal sehingga menyebabkan anak-anak berasa sukar untuk meluahkan perasaan.
“Ibu bapa perlu mewujudkan persekitaran yang selamat supaya golongan muda berasa selesa untuk berkongsi cabaran emosi, pengalaman di media sosial dan kebimbangan mengenai masa depan tanpa takut dihakimi.
“Ada kalanya, apa yang diperlukan oleh golongan muda bukanlah kritikan atau nasihat serta-merta, tetapi seseorang yang sanggup mendengar dan memahami apa yang sedang mereka lalui,” katanya.
Beliau menambah, keluarga kekal sebagai sumber sokongan utama dalam membentuk sahsiah dan kesejahteraan emosi golongan muda, manakala pihak sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) turut memainkan peranan penting dalam menangani isu seperti buli siber dan literasi digital.
Menteri itu menegaskan bahawa usaha mempersiapkan Generasi Z menghadapi masa depan memerlukan kerjasama antara keluarga, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan masyarakat secara keseluruhannya.
Turut hadir ialah Pengarah JHEWA Sabah, Haslina Ismail; Timbalan Pengerusi MPWS, Datuk Fauziah Abu Bakar Titingan; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan MPWS, Prof Ts Dr Imbarine Bujang; dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Henry Idol.