PENAMPANG: Seorang lelaki warga asing berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup selepas ditahan kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu seberat 59.64 gram, bernilai kira-kira RM6,000, di Putatan, tengah malam semalam.
Suspek berusia 23 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Penampang dalam operasi berhampiran sebuah premis dobi 24 jam, kira-kira jam 12.30 tengah malam, 14 November lalu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada penemuan 11 paket plastik lutsinar pelbagai saiz yang mengandungi ketulan hablur jernih disyaki syabu.
Menurutnya, dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM6,000.
“Suspek bersama barang rampasan dibawa ke pejabat BSJND Penampang untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sammy turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah, selain menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu membanteras kegiatan berkenaan.