TAWAU: Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun sebuah madrasah di sini, bulan lalu.
Suspek terbabit ditahan sepasukan polis di tepi jalan sebuah taman perumahan dekat Jalan Utara, kira-kira 5 petang semalam sebelum di bawa ke mahkamah pagi ini untuk permohonan perintah reman.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 54 tahun itu dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum di Mahkamah Majistret Tawau, hari ini.
Permohonan reman dikemukakan pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Inspektor Nurul Amira Razali.
Berdasarkan keterangan kes yang dikemukakan semasa permohonan reman, polis menerima laporan berhubung dakwaan amang seksual fizikal terhadap pelajar berkenaan yang didakwa berlaku dalam dua kejadian berasingan pada 8 dan 13 November lalu di madrasah tempat mangsa menuntut.
Kedua-dua kejadian itu membabitkan mangsa yang sama dan dipercayai berlaku di madrasah berkenaan.
Mahkamah turut diberitahu bahawa lelaki terbabit pernah melakukan perbuatan sama terhadap beberapa pelajar perempuan lain di madrasah itu, namun perkara berkenaan masih dalam siasatan.
Mangsa membuat laporan polis pada 14 November lalu selepas mendakwa kejadian berkenaan menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan dirinya.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap
Kanak-Kanak 2017.