KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan menyediakan peruntukan RM30,000 tahun depan bagi membantu persiapan kontinjen Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Sabah menghadapi pertandingan berkenaan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, peruntukan itu merupakan komitmennya bagi memudahkan urusan dan memperkukuh persiapan kontinjen Sabah ke kejohanan berkenaan.
“Sebagai komitmen saya selaku menteri yang bertanggungjawab, tahun hadapan kita akan sediakan RM30,000 kepada persiapan kontinjen MSSM Sabah untuk mempermudahkan lagi gerak kerja mereka dan persiapan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Anugerah Pamer Keunggulan (APK) Peringkat Negeri Sabah tahun 2026di Pusat Konvensyen Antarabangsa (SICC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Abidin Marjan.
Beliau berkata, insentif tambahan juga akan dipertimbangkan sekiranya kontinjen Sabah berjaya muncul juara sebagai penghargaan terhadap usaha atlet murid mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan.
Katanya, pencarian bakat sukan perlu bermula sejak peringkat sekolah rendah kerana ia menjadi medan awal kepada anak-anak Sabah untuk membina kejayaan dalam bidang sukan apabila dewasa kelak.
Menurutnya, kerjasama berterusan dengan Jabatan Pendidikan amat penting bagi mengenal pasti dan mengembangkan bakat atlet murid supaya mereka mampu mencapai kejayaan bukan sahaja di peringkat negeri, malah kebangsaan dan antarabangsa.
“Usaha berkenaan juga diharap dapat melahirkan lebih ramai atlet berkualiti yang berpotensi menyumbang kepada pencapaian Sabah dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan kejohanan sukan lain pada masa akan datang,” tambah beliau.
Pada majlis berkenaan, sebanyak 137 kategori anugerah akan disampaikan sebagai pengiktirafan terhadap usaha, dedikasi dan pencapaian warga pendidikan serta murid di Sabah, sekali gus menyemarakkan kecemerlangan pendidikan negeri dalam pelbagai bidang.