KOTA KINABALU: Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) berupa komputer riba daripada Kerajaan Negeri Sabah menjadi sokongan bermakna kepada mahasiswa kurang berkemampuan, termasuk pelajar yatim piatu, dalam meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi.
Bagi mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), Sudirman Arsyad, 23, bantuan berkenaan bukan sahaja meringankan beban kewangan, malah menyediakan kemudahan penting bagi memenuhi keperluan pembelajaran sepanjang berada di universiti.
Sudirman, mahasiswa jurusan Hubungan Antarabangsa yang merupakan anak yatim piatu daripada tujuh beradik, melahirkan rasa syukur kerana terpilih sebagai penerima bantuan berkenaan.
Menurutnya, inisiatif itu mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan golongan pelajar kurang berkemampuan turut mendapat sokongan sewajarnya untuk melanjutkan pendidikan.
“Saya berharap bantuan seumpama itu dapat diperluaskan kepada lebih ramai pelajar, khususnya mereka daripada keluarga berpendapatan rendah, bagi memudahkan perjalanan pendidikan masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Inisiatif Pendidikan Sabah 2026, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai pelaksanaan bantuan itu, Sudirman turut menyifatkan pemberian berdasarkan kelayakan tanpa dipengaruhi perbezaan pandangan politik sebagai satu pendekatan positif dalam memastikan kebajikan pelajar terus diberi perhatian.
Katanya, tanggungjawab kerajaan adalah memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang atau perbezaan pendapat.
Sudirman berharap lebih banyak inisiatif pendidikan dapat diperkenalkan pada masa hadapan, terutama bagi membantu pelajar di kawasan luar bandar yang masih berdepan kekangan kemudahan pembelajaran.
Menurutnya, usaha memperkasa pendidikan tidak seharusnya tertumpu kepada mahasiswa di institusi pengajian tinggi sahaja, sebaliknya perlu turut merangkumi pelajar sekolah menengah, khususnya sekolah yang masih memerlukan penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan pembelajaran.
Beliau turut berharap usaha meningkatkan kualiti pendidikan di Sabah dapat diteruskan bagi melahirkan lebih ramai generasi muda yang berilmu, berkebolehan dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.
Katanya, bantuan pendidikan seperti BAIK wajar diteruskan dan diperluaskan kerana inisiatif sedemikian mampu membuka lebih banyak peluang kepada golongan kurang berkemampuan untuk mengejar cita-cita menerusi pendidikan.