KOTA KINABALU: Bantuan penyenggaraan kecil yang disalurkan Kerajaan Negeri Sabah membolehkan pihak sekolah melaksanakan kerja pembaikan mengikut keperluan masing-masing, sekali gus memastikan kemudahan pembelajaran sentiasa berada dalam keadaan baik dan selesa untuk digunakan.
Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Krishna K.S @ Mohd Fadzli Abd Rozan berkata, bantuan berkenaan merupakan antara beberapa inisiatif pendidikan yang disediakan kerajaan negeri bagi menyokong keperluan sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta murid yang layak.
Menurutnya, peruntukan penyenggaraan kecil diserahkan terus kepada pihak sekolah bagi membolehkan kerja pembaikan dilaksanakan berdasarkan keperluan dan keadaan kemudahan masing-masing.
“Antaranya, ada bantuan untuk penyenggaraan sekolah yang kita serahkan kepada pihak sekolah supaya mereka boleh melaksanakan penyenggaraan kecil,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Inisiatif Pendidikan Sabah 2026, di sini, hari ini.
Beliau berkata, selain bantuan kepada sekolah, terdapat juga peruntukan disalurkan kepada PIBG untuk diagihkan kepada murid, manakala bantuan tertentu diberikan secara langsung kepada penerima yang memenuhi kriteria ditetapkan.
“Penyaluran pelbagai bentuk bantuan itu turut melibatkan sekolah di seluruh Sabah berdasarkan syarat dan kelayakan yang ditetapkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, antara inisiatif bantuan pendidikan yang diterima termasuk BISBAH, BAGUS, SUKSES, BAKTI, BISTARI dan BALKIS, dengan jumlah keseluruhan peruntukan diterima sebanyak RM2,830,900.
Fadzli turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor atas komitmen dan sokongan berterusan kerajaan negeri dalam membantu warga pendidikan, termasuk pihak sekolah, murid, PIBG dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
Menurutnya, sokongan berkenaan penting bagi memastikan usaha meningkatkan keberhasilan serta pencapaian murid di Sabah dapat diteruskan.
Katanya, bantuan yang disalurkan bukan sahaja membantu pihak sekolah menangani keperluan penyenggaraan kemudahan, malah turut menyumbang kepada penyediaan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif untuk murid.