Pendidikan murid perlu diutamakan, jangan libatkan mereka dalam pertikaian – PIBKS

KOTA KINABALU: Pendidikan, keselamatan dan kebajikan murid perlu terus diutamakan serta tidak wajar terjejas akibat sebarang pertikaian, kata Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Sabah, Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran.

Beliau berkata, PIBKS memandang serius sebarang tindakan yang melibatkan murid sekolah rendah dan menengah dalam bentuk bantahan atau demonstrasi yang berpotensi menjejaskan keselamatan, kesejahteraan emosi serta pendidikan mereka.

Menurutnya, kanak-kanak tidak seharusnya dibawa atau dijadikan alat untuk memberi tekanan kepada mana-mana pihak demi kepentingan tertentu.

“Saya memahami dan menghormati keresahan serta kesulitan yang dihadapi oleh pihak-pihak terlibat. Namun, anak-anak tidak seharusnya dibawa atau dijadikan alat untuk memberikan tekanan kepada mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Anugerah Pamer Keunggulan peringkat negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Beliau turut mengingatkan bahawa tumpuan pendidikan murid perlu dilindungi, lebih-lebih lagi ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 sedang berlangsung.

Katanya, sebarang pertikaian melibatkan orang dewasa tidak seharusnya mengganggu tumpuan dan persediaan calon menghadapi peperiksaan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat, komuniti dan semua pihak supaya sentiasa peka serta mengutamakan keselamatan, kebajikan dan masa depan anak-anak.

“Murid perlu diberikan ruang untuk menumpukan perhatian kepada pembangunan diri, pembelajaran dan pendidikan berbanding dilibatkan dalam perkara yang tidak memberikan manfaat kepada mereka,” ujarnya.

Pada majlis berkenaan, beliau turut menerima Anugerah Bakti Gemilang sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan komitmen PIBKS dalam menjalin kerjasama strategik bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, khususnya dalam menyokong pembangunan pendidikan serta pembentukan sahsiah murid di negeri ini.