KOTA KINABALU: Penyertaan dalam Kejohanan Pickleball Wanita anjuran bersama Bounce Pickle Club (BPPC) dan Dinkers Point Pickle Club meningkat hampir 60 peratus pada tahun ini.
Presiden Bounce Pickleclub, Nur Zahiera Putri Ismail berkata peningkatan yang ketara itu berjaya menghimpunkan 80 kumpulan daripada 160 pemain berbanding hanya 50 kumpulan pada edisi tahun lalu, sekali gus membuktikan sukan itu semakin mendapat sambutan dalam kalangan wanita di negeri ini.
“Penyertaan yang memberansangkan itu menunjukkan perkembangan positif sukan pickleball di negeri ini, dengan pemain bukan sahaja datang dari Kota Kinabalu, malah turut melibatkan peserta dari Tawau, Keningau, Kota Belud dan Kudat.
“Tahun lalu kita menerima 50 pasangan, tetapi tahun ini jumlah itu meningkat kepada 80 pasangan. Ini menunjukkan semakin ramai wanita berminat menyertai sukan pickleball di Sabah.
“Kita mahu menyediakan platform yang selesa kepada pemain wanita kerana kita percaya keselesaan ketika bertanding akan memberi kesan kepada prestasi mereka di gelanggang, khususnya bagi pemain wanita Muslimah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Pickleball Wanita tahun 2025/2026 yang berlangsung di arena sukan itu di sebuah hotel di sini, hari ini.
Turut hadir bagi mewakili Yang Dipertua Mutiara GRS Sabah, Datin Seri Juliah Salag iaitu isteri Menteri Pendidikan Sains, Teknologi dan Inovasi, Datin Noriah Pangeran Ahmad.
Beliau berkata, kejohanan tahun ini turut memperkenalkan kategori veteran bagi peserta berusia 40 tahun ke atas, menggantikan kategori terbuka yang dipertandingkan pada edisi lalu.
Dalam pada itu, beliau berharap lebih banyak usaha dilakukan untuk membangunkan sukan pickleball di Sabah termasuk memperbanyakkan kejohanan, program kejurulatihan dan akademi bagi melahirkan pemain yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Katanya, walaupun beberapa pemain Sabah pernah menyertai kejohanan antarabangsa, pembangunan bakat masih memerlukan sokongan yang lebih menyeluruh.
“Keadaan ini menyebabkan proses pembangunan serta pemantapan bakat pemain belum dapat dilaksanakan secara menyeluruh, memandangkan komuniti pickleball di negeri ini masih berada pada peringkat awal berbanding Semenanjung Malaysia,” jelasnya.
Juara kejohanan itu menerima wang berjumlah RM3,000, trofi, pingat, peralatan pickleball dan set penjagaan rambut jenama Thyre, manakala naib juara serta pemenang tempat ketiga masing-masing membawa pulang wang berjumlah RM2,000 dan RM1,000 berserta hadiah iringan yang sama.