SEMPORNA: Dua lelaki warga asing ditahan selepas polis merampas dadah disyaki syabu seberat 5.61 gram dalam Ops Tapis di sekitar Kampung Sri Jaya, di sini.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, tangkapan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.
Menurutnya, suspek pertama berusia 30 tahun ditahan ketika berada di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan menemukan satu paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki methamphetamine (syabu) dengan anggaran berat 0.17 gram.
“Suspek ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, dalam tangkapan kedua, polis menahan seorang lelaki berusia 53 tahun.
“Hasil pemeriksaan menemukan satu paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki methamphetamine dengan anggaran berat 5.44 gram.
“Suspek kedua ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Tan berkata, kedua-dua suspek dibawa ke Pejabat BSJND IPD Semporna bagi menjalani proses siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.
Katanya, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Polis akan terus mempergiatkan usaha membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan berkaitan dadah.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan atau pengedaran dadah diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah berkenaan,” katanya.