Kompleks Sukan Membakut tersenarai dalam RMK-13

KOTA KINABALU: Cadangan pembinaan Kompleks Sukan Membakut disenaraikan sebagai antara projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan kemudahan sukan di kawasan berkenaan.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kementeriannya kini sedang melaksanakan proses pewartaan tanah yang dikenal pasti sebagai tapak pembinaan kompleks sukan itu.

Menurutnya, anggaran kos serta tempoh pelaksanaan projek hanya akan dimuktamadkan selepas semua prosedur berkaitan, termasuk proses pengambilan tanah dan kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan, diselesaikan.

“Ketika ini, kementerian sedang mengenal pasti keperluan teknikal dan kesesuaian tapak, termasuk keluasan tanah, akses jalan, utiliti asas serta potensi pembangunan jangka panjang bagi memastikan projek dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Dr Daud Yusof pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Nizam berkata, kementerian bersama ADUN Membakut turut mengadakan lawatan ke tapak cadangan pada 18 Julai lalu bagi menilai kesesuaian lokasi untuk pembangunan kompleks sukan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, cadangan pembinaan Mini Kompleks Sukan Sungai Manila akan dipertimbangkan di bawah Rancangan Malaysia akan datang.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan projek itu tertakluk kepada penyediaan tapak yang sesuai serta kelulusan peruntukan kerajaan.